Adam Shahz akhirnya bertemu anak selepas lima bulan terpisah
Adam Shahz akhirnya bertemu anak selepas lima bulan terpisah
KUALA LUMPUR: Selepas lima bulan tidak bertemu dan berhubung, pelakon Adam Shahz akhirnya dapat meluangkan masa selama empat hari bersama permata hatinya, Ivy Herra Sophia, 7.
Adam ketika dihubungi BH Online berkata, dia gembira dapat bertemu dengan anak perempuannya selepas tidak berjumpa mahupun berhubung sejak Oktober tahun lalu.
"Kami tak bertemu sudah lima bulan. Jadi, hati mana yang tidak gembira bila dapat berjumpa, orang kata kekasih syurga kita.
"Jadi, bila lama tak jumpa dapatlah saya bawa Ivy pulang ke kampung halaman di Melaka. Dia pun cakap nak jumpa neneknya di kampung.
"Lagipun, ini masih musim cuti sekolah, jadi dapatlah bawa Ivy habiskan masa di rumah nenek.
"Ivy pun nak sangat berjumpa sepupu, jadi semua adik-beradik saya berkumpul di kampung, Alhamdulillah," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Adam atau nama sebenarnya, Nor Shah Azli Abdol Ghani berkongsi dalam laman Instagram (IG) dapat meluangkan masa bersama Ivy selepas sekian lama memendam rindu.
Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, menetapkan semula tarikh sebutan berhubung tuntutan hak penjagaan anak membabitkan pelakon Adam Shahz dan bekas isteri, Fatin Afeefa, 28, pada 17 April depan.
Lanjutan dibuat susulan bantahan difailkan Fatin selaku defendan terhadap Adam (plaintif) yang memohon hak lawatan, bersama dan bermalam terhadap anak mereka, Ivy Herra Sophia, 7.
Kata Adam, peluang berjumpa Ivy diuruskan peguam, dia mahupun Fatin tidak berhubung.
"Sebenarnya ini hasil perbincangan antara peguam. Kami masih tak selesai lagi urusan di mahkamah.
"Saya nak cakap pun tak tahu kena tanya peguam.
"Saya ikut sahaja nasihat dan serahkan semuanya kepada peguam. Insya-Allah, kami kes kami bersambung pada 17 April ini" katanya.
Mengulas mengenai harapan, Adam berkata, dia hanya mahu isu penjagaan anak dapat diselesaikan secara adil dan saksama tanpa mengeruhkan keadaan.
"Saya senang sahaja sebenarnya. Saya bukan kata nak kemenangan, cuma saya mahukan kedua-dua pihak mendapat keputusan adil.
"Saya tak kata nak ambil anak terus. Sebab Ivy pun ada emak dan bapa.
"Jangan aniaya anak dengan perkara sebegini. Apa yang terjadi biar antara kita berdua.
"Jadi, saya harap isu antara kami akan diselesaikan dengan baik. Anak sudah tidak bertanya soal ini, jadi saya tak mahu ganggu dan bercerita lagi," katanya.
Terdahulu, Adam dan Fatin gagal mencapai kesepakatan dalam majlis sulh yang diadakan pada 29 Januari lalu dan terpaksa meneruskan sebutan hak penjagaan anak di mahkamah syariah.
Perkahwinan Adam dan Fatin pada 2013 hanya mampu bertahan selama empat tahun, sebelum bercerai pada Mei 2017
Posting Komentar untuk "Adam Shahz akhirnya bertemu anak selepas lima bulan terpisah"