'Pulanglah Hizairi, kami tetap tunggu walaupun 22 tahun gagal ditemui'

 Tiada petunjuk berhubung kehilangan Hizairi yang juga pensyarah UPM sejak 22 tahun lalu
Tiada petunjuk berhubung kehilangan Hizairi yang juga pensyarah UPM sejak 22 tahun lalu

KUALA LUMPUR: Selepas 22 tahun, misteri kehilangan penulis prolifik, Hizairi Othman masih belum terungkai dan kekal menjadi tanda tanya.

Sehingga kini, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang sejak 15 Mac 2001 itu belum ditemui dengan satu-satunya petunjuk adalah kereta miliknya yang ditemui ditinggalkan di sebuah taman rekreasi di Kajang.

Jika Hizairi yang juga anak sulung sasterawan tanah air, Allahyarham Dr Othman Puteh itu masih hidup, usianya kini sudah mencecah 53 tahun.

Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari, yang juga kenalan rapat Allahyarham Othman, berkata peristiwa kehilangan Hizairi terus diingati terutama dalam kalangan penggiat sastera, malah ramai masih mengharapkan kepulangannya.

"Saya bersahabat dengan Allahyarham Othman sejak 1973 dan kenal rapat juga dengan Hizairi yang biasanya apabila kami berdua ada jemputan program sastera di luar negara atau Sabah dan Sarawak, dia yang akan jemput di lapangan terbang.

"Tetapi selepas Othman meninggal dunia pada 2003, sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya tidak bertemu isterinya, Timah Baba dan tidak tahu keadaan mereka sekeluarga. Bukan tak mahu berjumpa, tetapi bimbang jika dia (ibu Hizairi) menangis atau sedih teringatkan anaknya," katanya.

Mengimbau usaha Allahyarham yang tidak pernah putus asa mencari anaknya, Rahman berkata, pelbagai ikhtiar dibuat ketika hayatnya dan kemudian diteruskan ahli keluarga lain.

"Selepas kehilangan Hizairi, walaupun bapanya teruskan hidup seperti biasa, namun saya tahu dia sedih, pelbagai usaha dibuat termasuk pergi ke Tanah Suci untuk memohon doa supaya anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

"Bukan saja keluarga, penggiat sastera turut merasai kehilangan penulis yang berbakat besar ini, terutama dia hilang ketika namanya berada di kemuncak. Pada masa sama, agak sukar untuk terima kehilangannya, kerana tidak munasabah seseorang itu hilang begitu saja," katanya.

Bagi penulis, Siti Raihani Mohamad Said yang mengenali Hizairi atau lebih mesra disapa Zack sejak 1997, kesedihan berikutan kehilangan sahabat penulisnya secara mengejut masih terpahat dalam ingatan.

"Saya tak lupa tarikh 15 Mac untuk mengenang kehilangan Hizairi, selepas 22 tahun masih tiada khabar berita.

"Kali terakhir kami berjumpa, kira-kira sebulan sebelum dia hilang. Waktu itu dia nak lepaskan jawatan Pengerusi Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dan mahu saya ambil alih. Tak ada yang aneh dalam pertemuan itu. Ketika itu, dia baru pulang umrah dan beritahu mahu fokus pada pengajian doktor falsafah (PhD)," katanya.

Siti Raihani berkata, banyak teori dikaitkan dengan kehilangan Hizairi, termasuk mengaitkannya dengan perkara mistik.

"Polis turut buntu kerana kehilangannya sangat misteri. Apa yang menyedihkan, kami kehilangan sahabat baik dan tak dapat lagi baca karya beliau. Jika Allah SWT izinkan beliau kembali, satu hari nanti pasti ada," katanya.

Bekas pelajarnya, Roslina Hadi, berkata Hizairi terus diingati kerana kebaikannya melayan semua pelajar seakan keluarga sendiri.

"Seminggu sebelum dilaporkan hilang, saya bertemu di pejabatnya di Fakulti Bahasa Moden UPM. Huzairi pendiam, susah nak ketawa atau bercerita dengan orang yang tak rapat.

"Dia anggap saya seperti kakak walaupun dia tutor waktu itu. Beliau minat membaca terutama cerita misteri atau makhluk asing, hingga tampal pelekat 'alien' di komputer ribanya.

"Apabila dia tiba-tiba hilang, saya teringat seperti cerita penculikan makhluk asing dalam cerpen dan novel dihasilkannya," katanya.

Seorang lagi bekas pelajarnya, Norizan Abdul Hamid, berkata keperibadian dan komitmennya dalam penulisan adalah perkara yang terus diingati sehingga kini.

"Saya minat penulisannya sejak di Tingkatan Dua dan mula baca karyanya dalam Dewan Siswa. Kemudian dapat peluang mendapat bimbingan Hizairi sebagai tutor untuk satu subjek ketika menuntut di UPM.

"Apa yang saya boleh katakan, dia sangat komited terhadap sastera, mungkin itu kecintaannya.

"Antara karya terakhirnya adalah Justaposisi dan beliau dilaporkan hilang selepas menang tempat pertama pertandingan Formula Satu Malaysia. Di mana saja dia berada, saya doakan dia sentiasa dalam kebaikan," katanya.

Usaha BH untuk mendapatkan maklum balas keluarga Hizairi setakat ini tidak berhasil.

Kehilangan Hizairi yang ketika itu berusia 31 tahun dan masih bujang, antara kes yang pernah menggemparkan negara.

Beliau meninggalkan ranah sastera dengan pelbagai karya hebat termasuk Manisnya Ulang Tahun, Puncak Salai, Syonagar dan Pesan Pada Angin.