Uqasha Senrose dakwa Kamal Adli cedera teruk dipukul
Uqasha Senrose dakwa Kamal Adli cedera teruk dipukul
KUALA LUMPUR : Pelakon Uqasha Senrose yang ketika ini berada di Singapura, mendakwa suaminya, Kamal Adli, dipukul seorang lelaki sehingga cedera teruk di kepala selepas mereka menghadiri suatu acara di republik itu, malam tadi.
Berikutan insiden itu, Uqasha mendakwa Kamal cedera teruk hingga dikejarkan ke hospital dan perlu ditidurkan sebelum dibedah.
Uqasha mendakwa kejadian itu berlaku antara jam 9 malam hingga 10 malam tadi, apabila mereka yang hendak meninggalkan acara, melayan permintaan seorang wanita berkerusi roda yang mahu merakamkan foto bersama.
"Saya dan Kamal bergambar dengan mak cik itu. Tiba-tiba, datang seorang lelaki dan bertanya, Kamal mana? Kami fikir dia peminat.
"Kamal kemudian tegur lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu keluarkan cota dari poket dan pukul belakang kepala Kamal berkali-kali.
"Darah Kamal berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul tulang pipi. Lelaki itu kemudian pukul berkali-kali pada badan Kamal," dakwanya ketika dihubungi BH Online di Singapura.
Insiden menimpa pasangan itu kecoh apabila Uqasha memuat naik video pendek di Instagram (IG), antara lain memaparkan dirinya sedang menangis.
Uqasha berkongsi kapsyen memohon doa orang ramai untuk Kamal yang didakwa dipukul dengan cota berkali-kali hingga perlu menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.
Berkongsi lanjut mengenai keadaan Kamal, Uqasha sedih Kamal perlu ditidurkan sebelum pembedahan.
"Saya tidak boleh masuk bilik pembedahan sekarang. Cuma, saya boleh buat laporan polis di Singapura," katanya.
Uqasha juga mendakwa adik-beradiknya yang bersama ketika insiden itu, diugut individu terbabit.
Posting Komentar untuk "Uqasha Senrose dakwa Kamal Adli cedera teruk dipukul"